11.19.2009

BERMINAT MENGIKUTI KURSUS PERUBATAN ISLAM BERSIRI


Professional IslamicSupport And Norture Group (PISANG) Sabah
Dengan kerjasama

Yayasan Amal Malaysia Cwg. Sabah

Akan Mengadakan kursus perubatan Islam secara Bersiri yang

akan dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Darus Syifa Kuala Lumpur.

Syarat-syarat pengambilan peserta ialah melalui proses perbincangan/temuduga.

Tarikh temuduga peserta ialah pada ketetapan berikut:

-----------------------------------------------------------------------------------------

Tarikh:

21.11.2009


(Sabtu)

Tempat:

Pej. Yayasan Amal Malaysia Cwgn Sabah, Tmn. Pasir Putih


Putatan K.Kinabalu


Masa:

8.30 A.M - 12.30 P.M


2.00 P.M - 05.00 P.M

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------

Syarat-syarat utama:

1. Boleh membaca Al-Quran

2. Mesti menamatkan semua modul (92 jam)

Sesiapa yang berminat, sila hadir dalam sesi perbincangan/temuduga.

Atau menghubungi penama berikut:



1.Ust Rozhan Yacub (016-8484512)

2.Ust Azman Jupri (016-8307944)

3.Mohd Wafi (0168184774)

4.En. Janis Abdullah (0138693148)

Mereka yang berjaya akan dihubungi melalui SMS, telefon atau surat



11.11.2009

Baja Organik Adalah Baja Semulajadi






Alhamdullilah, pada 8.11.09 ahad baru-baru ni, saya dan sahabat saya ust Ridhuan di amanahkan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah untuk mengendalikan program Amal di Kg. Rokum Pitas, Sabah. Kami hanya berdua sahaja yang akan mengendalikan program pada kali ini. Kami bertolak daripada Kota Kinabalu pukul 8.30 am dan sampai pada jam 11.30am.  Masa perjalan  kami ke Kg.Rokum Pitas memakan masa lebih kurang 3 jam, dengan keadaan jalan yang sedang dalam pembaikan melambatkan perjalan kami untuk sampai di distinasi yang dituju.


Sesampai kami di Kg.Rokum pada pukul 11.30am, kami telah disambut oleh penduduk Kg Rokum Pitas. Kegembiran yang terukir diwaja penduduk kampung meringankan lagi kepenatan kami yang sedia ada, mana tidaknya perjalan yang memakan masa 3 jam untuk sampai ke distinasi cukup letih juga dibuatnya, cum bukan saya yang memandu penat agak kurang sedikit :) . Alhamdullilah kami tidak berdua, ada 3 orang sahabat Yayasan Amal daripada pitas yang datang untuk membantu bagi melancarkan Program Membuat baja Organic.

Langkah-langkah berikut untuk menghasilkan baja Organic/Baja Kompos, yang mana apabila siap pemprosesannya akan digunakan sebagai baja sayur-sayuran, buah-buhan dan lain-lain.Bersih daripada bahan kimia kerana kita mengunakan bahan-bahan semulajadi yang ada di sekeliling kita.



Langkah Pertama


Bahan-bahan Semulajadi Seperti Rumput Hidup/kering Dan Tanah



Langkah Kedua/ Buat lubang Untuk Meletakkan Tiang kayu .





Langkah Ketiga / masukkan Tanah, Rumput lalang hidup dan Rumpu lalang Kering

Langkah Keempat/ Dipijak-pijak supaya mampat


Langkah Kelima Siap dimampatkan


Langkah Keenam /Cabut Batang kayu tadi utk memudahkan pengudaraan masuk,Elakkan air masuk kedalam.Selesai


Bergambar kenangan bersama Penduduk setelah Selesai Kerja Penghasilan Baja Organic

Hasil daripada kerjasama penduduk Kg Rokum alhamdullilah akhirnya selesai juga proses pembuatan baja organic/Kompos. Baja yang dibungkus dengan plastik tadi memerlukan tempoh masa sebulan dan selepas itu barulah plastik tersebut akan dibuka. Selepas sebulan dibungkus dengan plastik ia akan menghasilkan Baja Organic yang boleh digunakan. Kesinambungan daripada campuran tanah,rumput lalang hidup dan rumput lalang kering akan menghasilkan baja Organic yang berwarna hitam hasil daripada pembukusan dengan plastik tadi. Selain daripada rumput lalang kita juga boleh mengunakan rumput-rumput yang lain, cumanya hanya daun pokok acsia sahaja yang tidak boleh digunkan bagi menghasilkan Baja Kompos. Kepada yang ingin mencuba, cuba-cubalah kerana sangat besar nikmat kejadian yang ada dipesekitaran kita yang manusia tidak menghargainya. Semoga kita menjadi hamba-hamba yang besyukur.

SELAMAT BERAMAL



11.08.2009

Kesabaran Nenek Tua Menjual Tempe

Sebut sahaja perniagaan semua akan terfikir perniagaan adalah satu aktiviti yang menarik dalam menjana pendapatan hidup dan mendatangkan keuntungkan. 9/10 datangnya daripada perniagaan, kerana perniagaan tidak sama seperti orang yang makan gaji dengan majikan.

Perniagaan adalah aktiviti yang mulia disisi agama, jika dibuat dengan jujur dan amanah dalam urusan jual beli. Perniagaan adalah bidang yang telah diceburi oleh Nabi saw ketika baginda masih muda lagi, sifat jujur dan amanah yang telah diperlihatkan oleh Nabi saw kepada kita ketika mana Siti Khadijah hartawan Quraisy ketika itu mengamanahkan kepada baginda Nabi saw untuk membawa perniagaan beliau ke bumi Syam. Dengan sifat jujur dan amanah yang telah ditonjolkan Nabi saw maka hasil perniagaan Siti Khadijiah habis terjual. Maka kita seharusnya pada hari ini mengambil pengajaran dan contoh daripada sifat Nabi saw dalam berniaga.

Jauhilah sifat bohong didalam berniaga, dan ia tidak akan mendatangkan kebaikkan sedikitpun walaupun keuntungan yang kita perolehi berlipat kali ganda. Kepada yang ingin memulakan perniagaan pasanglah niat dengan betul  sebelum memulakan apa jua perniagaan yang kita ceburi bagi mendaptkan keberkatan daripada Allah swt. Sifat jujur, amanah, tidak berputus asa, rajin dan gigih harus ada pada setiap peniaga. Jangan kita berputus asa jika  perniagaan kita jatuh atau tidak ada sambutan daripada pelangan, berusahalah memantapkan strategi perniagaan, kembangkan networking perniagaan dan bertawakal kepada Allah yang pemberi rezeki. Jatuh bangun dalam perniaga adalah asam garam yang pasti dirasai oleh semua yang berkecimpung didalam perniagaan. Jadikan ia sebagai motivasi diri agar kita tidak berhenti sekerat jalan.

Saya ingin kongsikan cerita seorang nenek tua yang menjual tempe, setiap hari nenek tua tesebut akan menjalankan aktiviti perniagaanya menjual tempe di pasar. Setiap hari tempe nenek tua akan habis dibeli oleh pelanggan-pelanggan di pasar. Satu ketika sebelum nenek tua itu mahu turun ke pasar untuk menjual tempenya, didapatinya tempe yang mahu dijual tidak masak lagi, masih dalam keadaan yang belum masak. Nenek tua itu turun juga ke pasar, didalam perjalannya nenek tua itu berulang kali melihat tempenya tetapi tempe tersebut tidak juga masak-masak. Nenek tua itu berdoa kepada Allah agar tempenya  dapat masak untuk dijual, kerana itulah sahaja hasil rezekinya setiap hari. Nenek tua itu menyerahkan kepada Allah segala kesulitan yang menimpa dirinya pada hari ini. Apabila sampai ke pasar nenek tua tersebut melihat semula tempenya namun begitu tempe itu tidak juga masak-masak. Rasa susah hati nenek tua itu semangkin tinggi mana tidaknya kalau tempenya tidak dapat dijual maka keperluan harinya seperti beras, gula dan lain-lain tidak akan dapat dibeli untuk dibawa balik kerumah.


Dalam keadaan gelisah yang amat sangat tidak semana-mana seorang ibu muda ingin mencari tempe yang tidak masak. Ibu muda itu bertanyakan kepada nenek tua itu adakah nenek menjual tempe yang tidak masak ? nenek tua itu merasa gembira kerana ada juga orang yang menginginkan tempe yang belum masak. Ibu muda itu ingin mengirimkan tempe yang belum masak itu  kepadanya anaknya yang belajar di luar negara. Sebabnya kalau tempe yang belum masak dikirimkn ke luar negara ia  memerlukan masa berhari-hari untuk sampai maka apabila tempe itu sampai ia akan masak. Tanda syukur dan gembira terukir di waja nenek tua itu kerana Allah telah memakbulkan doanya hasil daripada sifat sabar dan pengharapannya yang tinggi kepada Allah.

Pengajaran yang boleh kita perolehi daripada cerita nenek tua itu ialah sifat tawakal dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah. Walaupun berniaga tempe sahaja nenek tua itu tidak merasakan yang menjual tempe kerja yang hina malahan ia menjadi hasil rezkinya setiap hari. Sifat sabar yang ada pada nenek tua itu harus diambil contoh kepada peniaga-peniaga yang sedang menjalankan perniagaan atau yang mahu berjinak-jinak dengan perniagaan..  selamat berniaga bagi yang ingin memulakan perniagaan.

10.27.2009

Rehla Keluarga ke Daerah Kundasang, Ranau





Kg Sinisian tempat bermalam (homestay)



Gunung Kinabalu diwaktu Pagi



MasyaAllah , sabtu dan ahad baru-baru ini 24-25/11/09  terasa kepenatan dibuatnya apa tidaknya saya membawa keluarga bercuti di kundasang sambil mengikuti Program IT di TM Resort, menikmati udara kundasang yang segar dan sejuknya yang menyegarkan. Sekali-sekala baik juga, terasa mcm di Cameron Highland.

Lokasi bermalam kami sekeluarga di Kg. Sinisian (homestay), dengan harganya yang jauh lebih murah berbanding tempat penginapan yang lain. Harga semalam penginapan ialah RM60-RM120 semalam. Tertakluk dengan keluasan bilik yang diinginkan. Kelengkapan seperti dapur masak, tandas, tv , astro, air panas dan servis/ layanan mesra  oleh setiap pemilik-pemilik rumah di Kg Sinisian Kundasang, Ranau.

Bertepatan dengan program IT dan rehla kelurga, daerah kundasang telah mengadakan program Pesta Kobis yang diadakan setiap tahun, memandangkan kundasang adalah tempat utama pengeluar kobis di negeri sabah maka Pesta Kobis adalah program yang seringkali diadakan di daerah Kundasang pada setiap tahun. Disamping itu juga daerah Kundasang adalah destinasi pelancongan terbaik untuk dilawati selain daripada daerah-daerah lain yang terdapat di sabah. Sebut sahaja kundasang mereka-mereka yang telah pernah berkunjung kesini pasti mengetahuinya. Bukan itu sahaja, program yang serentak diadakan bertempat di pekan ranau jaraknya 20Km daripada Kundasang telah berlangsung Pesta Durian. Masyarakat yang berada di luar Ranau telah berkunjung beramai-ramai untuk tidak melepaskan peluang menikmati buah durian dengan harga yang sangat murah.Cuma saya dan keluarga tidak sempat untuk memiliki durian yang murah, ole-ole untuk dibawa balik ke rumah  tetap ada.

Keindahan Gunung Kinabalu di kundasang diwaktu pagi kelihatan menarik dan sejuk mata memandang pabila melihatnya apatah lagi dengan udarahnya yang nyaman membuatkan kita akan terasa tenag dengan kehebatan ciptaan Allah swt.



   Keindahan Daerah Kundasang diWaktu Matahari naik.

Lokasi terakhir saya bersama keluarga  di Kolam Air Panas, Poring. Ranau. Sesiapa yang ingin membawa keluarga saya mencadangkan Kundasang Ranau adalah tempat yang sesuai dan menenangkan dengan keindahan ciptaan Allah swt.


    Kolam Air Panas Poring, Ranau




10.18.2009

Umar Bin Abdul Aziz pemimpin Yang Adil Jadikan Contoh dalam Kehidupan

Umar Bin Abdul Aziz satu nama yang tidak asing bagi kita untuk mengenalinya, seorang khalifah yang adil amanah lagi adil dalam menarajuhi negara. Sifat-sifat pemimpin yang payah kita cari pada abad ini, kalau adapun sangat kecil bilangannya.

Seorang khalifah yang zuhud dan sangat merendah diri, sentiasa menangis apabila mendengarkan ayat-ayat suci al-quran. Terutama sekali ayat-ayat yang menerangkan tentang azab seksa neraka. Dia adalah khalifah yang mampu meletakkan neraca keadilan bagi sesiapa sahaja dikalangan rakyatnya, baik pada dirinya sendiri, keluarga, orang kaya amahupun miskin. Perjalanan  hidupnya dipenuhi dengan mutiara dan pengajaran yang sangat berguna kepada kita apatah lagi kepada pemimpin-pemimpin islam pada hari ini.

Apabila kita mengahayti kehidupan insan ini, kita akan menitiskan air mata kerana sifat akhlaknya yang tinggi, mewarisi sifat moyangnya Saidina Umar Al-Khatab khalifah arRasyidin yang ke dua. Kita sangat-sangat dahagakan pemimpin seperti ini untuk mentadbir dunia yang pada hari ini dipenuhi dengan pemimpin-pemimpin yang zalim, memakan harta rakyat, melakukan pembunuhan dan pelbagai lagi sifat-sifat yang menyerupai sifat kebinatagan.

Pelantikan Umar Bin Abdul Aziz sebagai khalifah patut dicontohi oleh semua kita yang begelar pemimpin, samada pemimpin kelurga, pemimpin negara, persatuan dan lain agar dijadikan teladan dan pengajaran yang berguna.

Saya tertarik dengan tulisan tangan Umar Bin Abdul Aziz kepada Imam hasan al-Basri dan Mathraf bin Abdullah Ibn asy-Syakir .
" Daripada hamba Allah, umar binAbdul Aziz, kepada Hasan bin Abil Hasan al-Basri dan Mathraf bin Abdullah Ibn asy-Syakir. Salamun 'alaik, Aku mengajak kamu berdua memuji Allah yang tiada tuhan selain Dia dan aku memohon kepadaNya supaya melimpahkan salam sejahtera dan selawat kepada Muhammad, hamba dan rasulNya. Amma ba'du. Aku wasiatkan kepada kamu berdua supaya bertaqwa kepada Allah. Orang yang mengatakannya sangat banyak dan orang yang mengamalkannya sangat sedikit.Jika datang suratku ini, nasihatilah aku dan jangan kamu anggap aku ini suci"

MsyaAllah sangat tinggi akhlaknya, sentiasa merendah diri walaupun begelar khalifah, payah untuk kita melihat pemimpin-pemimpin hari ini untuk merendahkan diri dan memuliakan ulama. Malahan, fatwa yang dikelurkan oleh ulama-ulama dianggap sebagai kata-kata yang tidak bernilai , tetapi apa yang kita lihat sifat merendah diri dan takutkan Allah dapat diterjemahkan didalam kepimpinan Umar bin Abdul Aziz .

Jawapan Imam Hasan al-Basri
" Salamun 'alaik. Sesungguhnya , aku mangajakmu memuji Allah yang tiada tuhan selain Dia. Amma ba'du. Sesungguhnya, dunia adalah rumah ketakutan, Adam A.S diturunkan ke dunia sebagai hukuman, orang yang memuliakan dunia, dia dihinakan, menjadi mulia orang yang menghinakannya, dan difakirkan orang yang mengumpulkannya. Di dunia, setiap hari ada pembunuhan. Wahai Amirul Mukminin, jadilah seperti orang yang mengubati lukanya. Sabarlah atas pedihnya ubat jika engkau takut akan panjang cubaan"

Jawapan Imam Mathraf
" Salamun 'alaik. ya Amirul mukminin, daripada Mathraf bin Abdullah, Sesungguhnya aku mengajakmu memuji kepada Allah yang tiada tuhan selain Dia. Amma ba'du. Jadilah rasa tenangmu bersama Allah dan perhatian penuhmu kepadaNya. Sesungguhnya, kaum yang merasa damai bersama Allah dalam bersendirian daripada beramai-ramai dengan jumlah yang banyak, mereka mematikan apa sahaja di dunia yang mereka khuatirkan akan mematikan hati mereka, mereka meninggalkan apa sahaja di dunia yang mereka khuatirkan akan mematikan hati mereka, mereka meninggalkan apa sahaja di dunia yang mereka ketahui bakal meninggalkan, mereka menjadi musuh terhadap apa yang diterima manusia dari dunia. Semoga Allah menjadikan kita semua bahagia daripada mereka kerana mereka sedikit jumlahnya di dunia. Wassalam"

Rujukan:Biografi Umar bin Abdul Aziz peribadi Zuhud penegak Keadilan{Abdullah Bin Abdul Hakam)

10.13.2009

Nikmat Keluarga Bahagia


Imam Al Qurthubi menjelaskan dalam tafsirnya "Al Jamiu li ahkamil Quran" bahawa ada 5 unsur kehidupan yang baik(Hayatan Tayyibah) iaitu:

1.REZEKI YANG HALAL
   Ramai orang yang memperolehi yang melimpah ruah tetapi hasil diperolehi daripada jalan yang tidak halal seperti mencuri, menipu,rasuah dan lalin-lain.Walaupun kehidupan yang dibina itu dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan dunia,tetapi dalam jiwanya masih timbul rasa gelisah,runsing kerana hasil rezekinya itu tidak ada keberkatan di sisi Allah Taala.

Perbezaan orang yang  memperolehi yang halal pula,hasil daripada titik peluh yang ikhlas semata-mata inginkan keberkatan  Allah Taala  maka kehidupannya akan merasakan ketenangan ,kedamaian dan ketenteraman jiwa. Setiap hasil yang diperolehi di dunia ini  ,baik atau buruk akan dipersoalkan  di hadapan Pengadilan Allah kelak.

2.  QANA'AH
Qana'ah itu bermaksud mengucapkan apa yang seadanya,terutama sekali berkenaan dengan rezki dan kehidupan. Dr. Yusuf Al Qhardhawi merumuskan  makna Qanaah itu dengan kalimat :
"Redha terhadap kurniaan Allah yang tidak ada kuasa bagi manusia mengubahnya"(Musylatul Faqri wa kaifa 'ala jahal Islam)hlmn 28. Seperti yang sedia maklum manusia mempunyai sifat dan tabiat yang tidak pernah puas dengan apa yang ada. Rasulullah  S.a.w pernah bersabda : "Seandainya manusia  mempunyai 2 lembah penuh dengan emas, maka dia akan menghendaki lembah yang ke3, dan  kalau sudah ada 3 lembah maka mengkehendaki   lembah yang  keempat.  Perasaan tidak puas itu tidak akan  berakhir sehingga jasadnya dimasukkan kedalam tanah(mati)".
     Sesungguhnya manusia yang tidak mempunyai sifat Qana'ah tidak akan merasa puas dengan apa yang ada. Tetapi orang yang qanaah akan merasakan rezki yang dikurniakan oleh Allah itu  pasti akan merasa nikmat walaupun sedikit.

3.  TAUFIQ
Dalam kehidupan dunia ini, seringkali apa yang direncanakan oleh Allah kepada  hambanya sesuai dengan apa yang diharapkan oleh hambanya.Kesesuaian  itu dinamakan taufiq.Maka apabila manusi sering menemukan  pengharapan dan keinginannya tercapai dan seumpamanya,maka ia salah satu kehidupan yang baik.Ia berhubungkait dengan hidayah dan menjelmalah taufiq.

4. BAHAGIA(Sa'adah)
 Bahagia  itu sesuatu yang umum untuk difahami, Ia berhubungkait dengan ketenangan  jiwa dan rohani. Definisi bahagia adalah berbeza bagi setiap orang. Ada yang beranggapan  bahagia  lebih  kepada material dan kemewahan, tetapi hakikat yang sebenarnya  lebih kepada ketenangan yang dipandu dengan petunjuk Allah S.W.T .

5. JANNAH(Syurga)
Setiap manusia  dibolehkan untuk mengecapi kehidupan  didunia,tetapi keutamaan manusia ialah  untuk  mencapai kehidupan yang baik di akhirat kelak. Kehidupan dunia ini harus dijadikan laluan untuk menuju kehidupan yang hakiki diakhirat iaitu Syurga.

Dapat disimpulkan bahawa untuk mengecapi kehidupan yang baik didunia ini harus mengambil kelima-lima unsur yang dijelaskan  oleh Imam al Qurthubi sebagai panduan untuk merealisasikan kehidupan yang nyata.

10.07.2009

Berhati-hati dan berwaspada dengan Tipu daya Iblis

Ketahuilah sesungguhnya tipu daya iblis itu sangat berbahaya kepada manusia. Iblis telah berjanji kepada Allah swt bagi menyesatkan manusia di muka bumi sehinggalah mereka yang termakan godaannya dan seterusnya menjadi pengikut ibils didalam neraka jahanam. Allah telah menghalau ibils daripada syurga setelah ia tidak mahu sujud kepada Adam kerana sifat sombong dan bongkak yang menganggap dirinya lebih baik penciptaanya daripada Nabi Adam as. Didalam al-Quran telah dijelaskan sifat ego ibilis dalam Al-A'raf , Ayat 12" Engkau ciptakan saya dari api dan Engkau ciptakan dia dari tanah". Oleh itu Allah telah memberi tempoh  dan masa penangguhan kepada  iblis sehinggalah satu masa yang ditetapkan baginya.

Sejak iblis dihalau keluar daripada syurga bermulalah permusuhan iblis kepada manusia, iblis bersumpah menghabiskan umurnya untuk merosakkan cucu anak keturunan Adam. Disebabkan itulah kita harus berwaspada terhadap tipu daya ibils la'natullah. dan Allah berfirman didalam al-Quran:

"Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui" ( Al-Baqarah:168-169)

Saudara-saudaraku yang budiman, dengan janji iblis yang telah dibuat di hadapan Allah dalam menyesatkan manusia kecuali orang-orang yang Mukhlisin, iblis telah menyusun trategi yang mantap bagi mencapai keinginan dan kemahuannya supaya dapat membawa seramai mungkin manusia ke neraka jahanam. Dengan tercapai cita-citanya itu maka tidak sia-sialah apa yang selama ini yang ia inginkan. Maka iblis telah telah mempunyai anak yang telah diberikan tugas masing-masing dalam menjalankan misi penyesatan, lalu memberikan nama kepada mereka antaranya ialah Tsabr, A'war, Miswath, Dasim, dan Zaknabur kesemuanya  seramai lima tentera yang terlatih dalam mencapai impian iblis. Antara tugas-tugas yang dipikul kelima-lima anak iblis itu tidak mampu dihalang kecuali orang-orang yang ikhlas kepada Allah swt .

  1. Tsabr: tugasnya ialah membawa musibah yang diperintahkan untuk merosakkan manusia, menghampiri manusia disaat berduka cita, meratapkan kematian orang tersayang dan membuat pengakuan-pengakuan jahiliyah.
  2. A'war: Pembawa zina, menyeruh manusia melakukkan zina dan menganggap setiap perbuatan zina yang dilakukan adalah baik. tugas yang diberikan kepada A'war ini adalah tugas yang cukup ramai orang tergelincir dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Waspadalah kita kepada parasit ini agar kita tidak tergelincir dari godaanya.
  3. Miswath: Membawa dusta, cukup ramai disekeliling kita manusia yang termakan godaan dan tipu daya anak iblis yang bernama Miswath ini. Harus diingat  terhadap anak-anak kita yang masih kecil agar kita mendidik mereka supaya menjauhi kata-kata bohong dan dusta.
  4. Dasim.Tugasnya menyusup kedalam diri seseorang yang sedang marah. Apabila seseorang yang tidak dapat mengawal marahnya maka  ibilis inilah yang akan menguasai keseluruhan emosi kita dan akhirnya terjadilah pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya.
  5. Zaknabur: Dia akan menjadikan pasar sebagai perangkap untuk melakukan perniagaan yang tidak adil dalam jual beli, mengurangkan timbangan, menjual barang-barang yang tidak baik dan lain-lain lagi aktiviti yang merosakkan manusia. Berhati-hatilah kita , kelak kita akan dihitung dihadapan pengadilan Allah setiap perkara yang dibuat ketika di dunia.
Memang godaan dan tipu daya ibils tidak akan berhenti walau sesaat, setiap masa tidak akan disia-siakan bagi mencapai hasrat dan cita-citanya untuk menyesatkan manusia. Jangan kita lalai dan leka daripada  kejahatan iblis, sesungguhnya iblis tidak akan memberikan kita ruang untuk duduk senang di dunia ini pasti ada sahaja jalan yang bocor akan ditembusi baginya untuk menguasai diri kita.

"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka anggaplah ia musuh kamu , kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala" (Fathir: ayat 6)

Mantapkanlah iman kita kepada Allah dan sentiasa memohon perlindungan daripadaNya. Perlindungan yang kukuh dan tegap itu hanyalah dari Allah yang maha berkuasa keatas setiap makhlukNya Kebergantungan manusia dan Jin selayaknya hanya kepada Allah swt.